English Version

Utara Selatan Timur Tengah Sabah & Sarawak
| Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
Menu Utama
Laman Utama
Senarai Berita
Arkib Berita
Pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Sarawak
Ketua Menteri Sarawak

Berita Sarawak

February 05, 2008 10:49 AM

Samarahan Semakin Pesat Berkembang

Oleh Rudy Rukimin Rambli

KOTA SAMARAHAN, 5 Feb (Bernama) -- Cadangan pembesaran dua buah kampus universiti awam, pembinaan sebuah hospital kerajaan dan pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur bakal melonjakkan lagi peranan Samarahan sebagai Bandar Ilmu di Sarawak.

Residen Bahagian Samarahan Dr Sulaiman Husaini berkata cadangan pembesaran kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) berhampiran kampus sedia ada di Kota Samarahan dijangka dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) bagi membolehkan universiti itu mengambil sehingga 10,000 pelajar.

"Setakat ini bila tarikh dan kos pembinaan tersebut belum diketahui namun kerajaan negeri telah membayar pampasan yang kepada kesemua pemilik-pemilik tanah yang tanah mereka dijadikan tapak pembinaan projek tersebut," katanya kepada Bernama.

Selain UiTM, sebuah lagi universiti awam iaitu Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) juga akan membesarkan kampus sedia ada dengan pelaksanaannya dilakukan dalam tempoh RMK9 untuk menampung pengambilan pelajar sehingga 10,000 orang berbanding sekarang sebanyak 6,000 orang.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Unimas Prof Dr Khairuddin Abdul Hamid sebelum ini dipetik sebagai berkata bahawa projek fasa kedua pembesaran universiti awam pertama di Sarawak itu memakan belanja sebanyak RM6.6 juta dan dijangka siap 2010.

Pembesaran dua kampus universiti awam itu, menurut Dr Sulaiman menjadikan peranan Kota Samarahan, sebagai Bandar Ilmu semakin signifikan kerana mempunyai pelbagai institusi kemahiran yang menawarkan pelbagai kursus peringkat sijil, diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah selain daripada berpotensi dijadikan pusat pelbagai penyelidikan.

Selain UiTM dan Unimas, Kota Samarahan juga mempunyai Institut Latihan Perindustrian (ILP) di bawah Kementerian Sumber Manusia, Institut Perguruan Tun Abdul Razak (IPTAR) serta Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) dan International College of Advanced Technology (ICATS), kedua-duanya institusi milik bersama kerajaan Sarawak dan swasta.

"Rakyat tempatan dan sekitar Samarahan khususnya kini mempunyai pelbagai pilihan untuk melanjutkan pendidikan mereka dalam pelbagai bidang sama ada teknikal, profesional atau kemahiran lain," katanya.

Bagi meningkatkan lagi tahap kesihatan penduduk Samarahan yang merangkumi daerah Kota Samarahan, Serian, Simunjan dan Asajaya, Dr Sulaiman berkata sebuah hospital dirancang dibina pada RMK9 atau Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10).

Pembinaan hospital itu, katanya perlu bagi menyediakan perkhidmatan perubatan yang lebih baik kepada penduduk yang kini meningkat kepada 223,100 orang berbanding 197,220 pada 2004.

Mengenai peruntukkan pelbagai projek infrastruktur di Samarahan dalam RMK9, Dr Sulaiman berkata Samarahan diperuntukkan lebih RM1 bilion untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur seperti jalan raya bagi menghubungkan kampung-kampung kecil dan penduduk, yang majoritinya masih bergantung kepada sumber pertanian.

"Kita juga sedang dalam proses mengenalpasti pembinaan jambatan-jambatan menghubung ke kampung-kampung kecil dan besar di Samarahan bagi membolehkan kesemua kawasan di Samarahan dihubungi dengan jalan raya," katanya.

Mengenai potensi ekonomi jangka panjang Samarahan, Dr Sulaiman berkata perancangan, pelaksanaan dan penambahbaikan pelan induk pembangunan Samarahan hasil idea Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang juga Anggota Parlimen Kota Samarahan sejak 1970, menjadi kunci utama kejayaan Samarahan.

Residen Samarahan itu berkata pembangunan pesat Samarahan adalah sebahagian daripada rancangan jangka panjang kerajaan Sarawak bagi menempatkan industri dan menyediakan kawasan kediaman penduduk berhampiran bandar raya di Kuching.

Bahagian Samarahan diisytiharkan sebagai Bahagian Kelapan Sarawak pada 1 Jan 1987.

-- BERNAMA

 

©2014 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel